cerita ini dikreditkan kepada penulis muda....teruskan membaca.... enjoice.....
“Errr..err..awak ok ker?” Shahir begitu panik melihat keadaan Adira. Mukanya berubah pucat dan sistem pernafasannya seolah-olah tersekat. Jujur, Shahir tidak pernah langsung mengalami situasi seperti ini apatah lagi mahu mengendalikannya. Senang cerita, ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi itu. Hendak disentuh, tidak berani. Lebih-lebih lagi, orang itu adalah seorang wanita. Shahir tidak dapat mengawal perasaan gelabahnya lalu mengambil keputusan untuk memanggil doktor yang bertugas merawatnya. Tetapi, belum sempat dia beralih, dia merasakan tangannya dipaut seseorang. Digenggam kemas dan erat.
Shahir terpaku dan terus menoleh kembali ke arah Adira. Adira menggeleng-gelengkan kepalanya seraya tersenyum. Shahir mengerti yang gadis itu tidak memerlukan dirinya untuk memanggil doktor. Kemudian, matanya melirik ke arah tangannya yang masih erat digenggam oleh Adira. Menyedari hal yang sama, Adira pantas meleraikan genggaman itu dengan wajah yang merona merah. Dia menoleh ke arah lain untuk menyembunyikan perasaan malu dan berdebarnya.
“Maaf.” Sepatah sahaja dia berkata tanpa memandang ke arah Shahir. Shahir mengambil tempatnya semula tanpa menjawab permohonan maaf Adira. Adira menyedari permohonannya seperti tidak diendahkan Shahir. Dia gementar sekiranya Shahir tidak sudi memaafkannya.
“Awak maafkan saya tak?” Kali ini pandangannya tepat ke anak mata Shahir. Tetapi tidak lama kerana dia tidak tahan melihat tatapan Shahir yang dianggap ‘maut’ oleh Adira. Wajahnya semakin merah.
“Kenapa awak nak minta maaf?” Suara lunak yang berkrim dan lembut itu hampir-hampir memecahkan jantung Adira yang sedang berdegup hebat. Nadanya seolah-olah sedang mengucapkan ‘I Love U’ terhadap seorang kekasih yang amat dicintai. Sungguh manis dan romantis.
“Err..se..se..sebbabbb..” Lidah Adira kelu untuk berkata-kata. Tergagap-gagap dia dalam usaha untuk mengembalikan suaranya yang hilang tadi. Shahir melepaskan tawa kecil secara tidak sengaja apabila melihatkan Adira yang sudah tergagap itu. Raut wajah Adira pula bagaikan terpaku melihat tawa kecil yang menghiasi bibir Shahir. Kali ini, kelajuan degupan jantung Adira sudah melebihi had yang sepatutnya dan akan ‘meletup’ bila-bila masa sahaja. Dan apa yang pasti di dalam hatinya, dia sudah jatuh cinta buat kali yang ke-2!
“Emm..maaf.” Giliran Shahir pula yang meminta maaf apabila melihat mata Adira tepat merenung ke arahnya. Disangkanya Adira berkecil hati dengan tindakannya itu tadi. Tetapi renungan itu telah jauh menembusi hatinya dan terus ‘terpacak’ di situ.
Tertusuk dadaku,
Panahanmu, panahanku,
Hak milikmu,
Biar panahku terus di situ.
“Err.emm..awak? hello?” Shahir melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Adira yang bagaikan dipukau dan tidak berkelip-kelip memandang wajahnya. Shahir berasa serba-salah dan gelisah direnung sebegitu.
“Ada sesuatu yang tak kena kat muka saya tadi ker?” Soalan Shahir mengejutkan Adira dari khayalan. Wajahnya tiba-tiba berubah merah. Dia tidak menjawab soalan itu sebaliknya hanya memandang ke arah lain.
Shahir pura-pura tidak perasan akan perubahan riak wajah Adira itu. “Awak ni kawan Nad, kan?” Untuk menghilangkan rasa sunyi dan bosan di sekeliling mereka, Shahir mula menanyakan soalan tentang gadis itu.
“Yer..kawan lama dia..macam mana awak tau?” Dahi Adira berkerut memandang Shahir. Sebenarnya, dia sedang bergelut dengan perasaannya. Antara rasa tidak percaya dan gembira kerana dapat bertemu dengan lelaki idamannya yang selama ini hanya dipertemukan di alam mimpi. Tidak menyangka di dunia realiti, lelaki itu benar-benar wujud dan berada di hadapannya sekarang. Kalaulah boleh, mahu sahaja dia menerkam lelaki itu. Rindu yang dipendam sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.
“Sebab saya sepupu dia.” Shahir menjelaskan. Nadanya tidak berubah langsung. Masih kekal lembut dan lunak. Sejuk telinga apabila mendengarnya.
“Owh…” Adira terangguk-angguk mengerti. Tetapi rasa kemusykilan masih ternanam di dalam hati. Dia berusaha untuk mengingati kembali lewat-lewat pertemuannya dengan Nad. Setelah agak lama dia berdiam, akhirnya dia berjaya mendapatkan jawapan. Nad pernah menyebut nama itu setelah kegelojohan pertanyaan Adira. Bila diingatkan kembali, perasaan lucu dan malu mula bertandang.
Patutlah aku seperti dapat merasai kehadirannya masa tu. Tak sangka, kata hatiku itu betul jua. Adira bermonolog sendiri di dalam hati.
“Shahir, Awak tau tak?” Adira memanggil dengan lembut. Nadanya bertukar sayu dan hiba. Terangkat kening Shahir mendengar perubahan suara Adira. Adira memintal-mintal selimutnya dan merenung jauh. Kemudian, dia mengeluh berat. Dalam keluhannya bagai melepaskan satu bebanan yang berat. Shahir hanya menanti dengan sabar.
“Awak tau tak..” Adira kembali mengulangi soalannya.
“Saya dipaksa kahwin dengan orang yang saya tak cintai.” Entah kenapa mulutnya ringan sahaja untuk berkongsi kesedihan yang dialaminya dan masalah peribadinya terasa ingin diluahkan sahaja kepada pemuda itu. Dia yakin dengan cara itu, hatinya akan berasa sedikit lega. Seluruh jiwa raga dan rasa cintanya telah diserahkan kepada pemuda itu membuatkan dia menaruh kepercayaan penuh kepada Shahir.
Mendengarkan luahan itu, Shahir hanya membiarkannya. Dia tahu, gadis itu memerlukan seseorang untuk meredakan sedikit tekanan hidup yang dialaminya. Mungkin Shahir lah orang yang paling layak berada di sisi Adira dan mendengar segala luahan perasaan seorang gadis remaja itu.
“Dorang dah tau saya ada pilihan lain tapi dorang tetap nak jodohkan saya dengan dia jugak.” Adira terus meluahkan segala isi hatinya. Dia yakin Shahir seorang pendengar yang setia kerana itu tanpa ragu-ragu dia meluahkan semuanya. Lelaki itu bagaikan sudah dikenalinya sejak sekian lama. Dan inilah masa yang tepat dan sesuai untuk memberitahu sesuatu yang begitu penting dalam hidupnya kepada Shahir.
Shahir terus berdiam diri. Terdetik di benak hatinya perasaan kasihan kepada gadis itu. Dia memahami situasi yang dialami Adira.
“Disebabkan saya tak tahan dengan keadaan tu, saya ambik keputusan untuk….lari dari rumah.” 3 perkataan yang terakhir itu mengejutkan Shahir. Dia merenung gadis itu tanpa berkelip. Tidak menduga sejauh itu tindakan drastik yang diambil Adira. Walaupun dia memahami gelodak jiwa remaja yang menyebabkan mereka mengambil tindakan sebegitu namun jauh di sudut hati, dia kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan Adira.
“Awak tau kenapa saya buat perkara macam tu?” Adira menyoal tanpa mempedulikan reaksi Shahir. Dia memandang Shahir penuh makna. Pandangan yang penuh dengan kasih sayang dan kejujuran. Shahir pula terpinga-pinga apabila soalan itu yang diajukan Adira. Masalah peribadi Adira manalah dia tau. Akhirnya, dia menggeleng-gelengkan kepala sahaja tanda jawapannya.
“Sebab saya sayangkan awak.” Ucapan keramat itu akhirnya keluar juga dari mulut Adira. Terbeliak mata Shahir mendengarnya. Mata mereka saling bertatapan. Shahir mencari-cari anak mata Adira bagi memastikan kebenaran dan penjelasan di sebalik kata-kata yang diluahkan itu. Adira pula mahu meyakinkan Shahir bahawa dia benar-benar ikhlas. Sinar dan pancaran matanya sudah cukup untuk memberitahu segalanya. Suasana di sekeliling mereka terus sunyi dan sepi……………………
No comments:
Post a Comment