Friday, December 31, 2010

aNtaRa CiNTA dan SahaBat....chapter 13...


tuk kenal c penulis muda..


Adira membuka kelopak matanya perlahan-lahan sambil mengerang kesakitan. Terasa perit di seluruh tubuhnya. Berkerut dahinya memandang sekeliling. Tempat yang begitu asing baginya. Di mana aku? Getus hati Adira. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun tetapi tidak berdaya. Berkali-kali dia mencuba tetapi usahanya itu sia-sia sahaja. Akhirnya, dia mengalah dan terus mengeluh berat.
     Beberapa saat kemudian, pintu di sebelah kanannya terbuka perlahan. Adira serta-merta menoleh dan terlihat sebuah keluarga datang menghampirinya sambil mengukir sebuah senyuman. Hati Adira berbisik, macam pernah tengok je dorang ni tapi kat mana yer?
     “Alhamdulillah..adira dah sedar..risau makcik tadi.” Seorang wanita separuh abad menyapanya. Terlintas di fikirannya, macam mana dia boleh tau nama aku?
     Keluarga itu berpandangan sesama sendiri apabila mereka melihat Adira memandang mereka dengan dahi yang berkerut. Wanita itu memandang Adira dan menjelaskan seolah-olah ingin meleraikan kekusutan yang bersarang di dalam fikiran anak gadis ini.
     “Adira dah lupa kami ke? Kami ni mak dengan ayah nad..dah lupa?” Maksu Saodah memperkenalkan keluarganya bagi mengembalikan semula ingatan Adira terhadap mereka. Adira yang mendengar terkejut mendengar penjelasan itu.
     “Haa? Makcik..pakcik..Ya Allah..hampir-hampir dira tak kenal.” Akhirnya Adira mengukirkan senyuman apabila dia sudah dapat mengingati keluarga kawan baiknya ini.
     “Pakcik ingat kamu dah tak kenal kami..” Paksu Kamarul pula yang bersuara. Lega rasa hatinya melihat keadaan Adira yang semakin pulih. Bimbang sekiranya terjadi sesuatu yang boleh mengancam keselamatan Adira, mereka sekeluarga juga yang akan dipersalahkan.
     “Takkanlah dira senang-senang nak lupa makcik dengan pakcik pulak..hehe..makcik pakcik sihat?” Adira memandang mereka bersilih ganti. Kedua-duanya serentak menjawab, “Alhamdulillah..sihat-sihat jer.” Pandangan Adira teralih kepada seorang gadis di sisi Paksu Kamarul. Dia mengecilkan matanya untuk mengecam gadis itu.
     “Ni..errr..taaa..tasya kan? Natasya?” Hampir sahaja dia terlupa akan nama adik perempuan Nad yang seorang itu. Terlayar di ingatannya saat dia, Nad dan Natasya meluangkan masa bermain bersama-sama. Natasya hanya mengangguk mengiakan kebenaran kata-kata Adira itu sambil tersenyum.
     “Dah besar rupanya..cantik!” Adira memuji ikhlas. Natasya hanya tersipu-sipu malu mendengar pujian dari mulut Adira itu.
     Sejurus itu, dia bagaikan tersedar sesuatu. Lantas dia memeriksa keadaan dirinya dan terus bertanya kepada Maksu Saodah dan Pakcik Kamarul.
     “Makcik..pakcik..macam mana dira boleh berada kat sini?” Setelah dia mengamati keadaan sekeliling sebentar tadi, dia mula menyedari bahawa dia sekarang terlantar di atas katil dalam sebuah hospital. Sebab-musababnya masih belum diketahui Adira. Mungkin keluarga ini mempunyai jawapannya.
     Mendengar pertanyaan Adira itu, raut wajah ketiga-tiganya ini terus berubah. Terpancar riak kekesalan yang amat sangat. Maksu Saodah mengumpulkan kekuatannya untuk menjelaskan satu-persatu kejadian yang menimpa Adira. Adira memasang telinga dan mendengar dengan begitu khusyuk sekali. Sejurus selesai menjelaskan hal sebenar, Adira menatap siling. Kosong pandangannya itu.
     Melihatkan raut wajah Adira yang berubah, Maksu Saodah lekas memohon maaf, “Adira, kami sekeluarga minta maaf sangat-sangat..disebabkan kamilah, keadaan Adira jadi begini..kalau adira nak hukum kami pon, hukumlah..memang ini salah kami.” Maksu Saodah mengharapkan pengampunan dari Adira.
     Adira menoleh kembali sambil tersenyum. “Takpelah makcik..sebenarnya ni bukan salah makcik pon..semua berpunca daripada dira..kalau dira tak berhati-hati tadi, takkan jadi macamni..dahlah..lagipon, dira takde kecederaan serius kan? Jadi makcik tak payahlah risau..yang lepas tu biarkan ia..” Adira tidak mahu mengguris hati keluarga ini. Memang semuanya berpunca daripadanya. Dia seharusnya lebih berhati-hati.
     Maksu Saodah hanya tersenyum kelat. Terbayang di tubir matanya kecelakaan yang berlaku sebentar tadi. Tidak menduga bahawa semua ini terjadi di hadapan matanya. Mujur Adira tidak mengalami sebarang komplikasi yang serius.
     Sesaat kemudian, terdengar bunyi deringan telefon. Mengalunkan lagu nasyid yang begitu indah di pendengaran. Lantas Paksu Kamarul mencapai telefon bimbit dari poket seluarnya dan menjawab,
     “Assalamualaikum..” Semua yang berada di ruangan itu terdiam memandang Paksu Kamarul yang sedang menjawab panggilan dari seseorang.
     “Jadi, kamu ada kat sana la sekarang ni? Paksu ada dekat hospital ni..a’ah..kamu datanglah kat sini..paksu nak mintak tolong sikit.” Sesekali Paksu Kamarul terangguk-angguk dan sesekali dia terdiam sebentar memberi laluan kepada pemanggil untuk bersuara. “OK..assalamualaikum..” Perbualan di antara mereka akhirnya tamat.
     “Sape bang?” Maksu Saodah bertanya kepada suaminya. Paksu Kamarul menjawab sepatah, “Shahir!” Sambil itu dia menyimpan kembali telefon bimbitnya ke tempat asal.
     “Kenapa dengan abang shahir, ayah?” Natasya pantas sahaja mengajukan soalan saat nama itu disebut. Beria-ia dia menunggu jawapan daripada ayahnya.
     “Dia ada kat rumah kita sekarang..saja-saja singgah..dia telefon la bila tengok kita takde kat rumah..ayah dah suruh dia datang sini.” Paksu Kamarul membalas acuh tak acuh. Mereka berdua terangguk-angguk faham.
     Adira yang tekun mendengar perbualan 3 beranak itu terdiam. Fikirannya menerawang memikirkan seseorang. Shahir? Nama itu terlintas di dalam fikirannya sekaligus dia mencuba mengingati sesuatu. Macam pernah dengar pulak nama tu. Macam ada seseorang yang pernah bagitau. Berkerut-kerut dahinya kerana tidak putus asa mencuba teringatkan peristiwa atau pertemuan yang berlaku.
     “Adira, kamu dah telefon mak ayah kamu? Bagitau pasal benda ni?” Adira yang sedari tadi membatu dan membisu kerana mengelamun tersentak dan kembali ke alam realiti.
     “Aaa..apa makcik?” Adira meminta Maksu Saodah mengulangi sekali lagi soalannya itu kerana begitu leka dia sebentar tadi sehingga tidak menyedari soalan yang diajukan itu.
     “Mak ayah dira dah tau ke belum pasal adira ni?” Riak wajah Adira langsung berubah mendengar perkataan ‘mak ayah’ yang disebutkan Maksu Saodah. Hatinya gelisah dah jiwanya menjadi tidak tenteram. Patutkah dia menceritakan hal sebenar yang terjadi di antaranya dan ibu bapanya? Dan insiden dia sebenarnya melarikan diri dari rumah. Patutkah?
     “Err..dorang outstation sekarang..taknaklah ganggu dorang kat sana..tak pasal-pasal dorang terkejut, nahas pulak.” Adira hanya mampu untuk berbohong. Tidak sanggup dia menceritakan kejadian yang berlaku kerana ia masalah peribadi. Bimbang dianggap yang bukan-bukan oleh Maksu Saodah dan Pakcik Kamarul.
     “Takpe ke? Bukan apa, sekurang-kurangnya, dorang tau jugak keadaan adira ni..taklah dorang risau.”
     “Takpe makcik..nanti dira bagitau la dorang..tunggu masa yang sesuai jer.” Adira membalas sambil memasamkan mukanya. Tak payah susah-susah nak beritahu dorang. Buang masa jer. Bukan dorang ingatkan kita pun. Adira membebel di dalam hati sekaligus terngiang-ngiang sekali lagi bait-bait kata yang diucapkan oleh Encik Suhairi. Sakit hatinya apabila terkenangkan peristiwa itu.
     “Eh! Mak..abah..tasya dah lambat ni!” Natasya menegur memecah kesunyian. Dia mengerling jam di tangannya. Lagi 20 minit kelas tuisyennya akan bermula. Malam itu dia harus menghadiri tuisyen di sekolahnya. Sepanjang hari, pihak sekolah mereka mengadakan tuisyen dan bermacam-macam program untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini.
     “Kejap yer Tasya..kita tunggu abang shahir datang dulu..” Maksu Saodah memujuk.
     “Kenapa? Mak nak suruh abang shahir hantar tasya ye?” Ajunya dengan wajah yang ceria. Dia memang gembira sekiranya abang sepupunya itu yang menghantar dan mengambilnya. Memang itu sesuatu yang nyata kerana Shahir begitu disenangi oleh semua orang yang mengenalinya. Bahkan Shahir juga sudah mempunyai ramai peminat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
     Maksu Saodah hanya tersenyum mendengarkan soalan Natasya itu. Adira pula kembali mengelamun apabila nama itu disebut lagi. Hatinya tertanya-tanya sendiri siapakah gerangan Shahir yang dimaksudkan mereka. Ini kerana Adira begitu yakin bahawa dia pernah mendengar nama itu di mana-mana atau seseorang yang memberitahunya. Ingin sahaja dia bertanya kepada mereka tetapi perasaan malu menyelubungi hati. Akhirnya Adira membiarkan sahaja soalannya itu tanpa berjawab.
     “Odah..abang tunggu dekat luar lah ye..mana tau kalau shahir dah sampai, tak tau pulak kita ada kat bilik mana..adira, pakcik mintak diri sekejap ye..nanti pakcik datang balik.” Paksu Kamarul meminta izin untuk mengundur diri sebentar. Adira mengangguk memahami sambil senyuman manis terhias di bibirnya.

                                                                                *********


     Beberapa minit kemudian, pintu wad itu ditolak perlahan sekaligus mematikan perbualan rancak di antara Adira, Maksu Saodah dan Natasya. Serentak mereka menoleh ke arah pintu dan terlihat Paksu Kamarul datang kembali menghampiri mereka. Dia berbisik sesuatu ke telinga Maksu Saodah. Adira dan Natasya hanya memandang hairan. Maksu Saodah mengangguk faham.
     “Adira, dira tak kisah kan kalau kami tinggalkan dira sekejap..kami nak hantar tasya pergi tuisyen kat sekolah dia..” Maksu Saodah meminta lembut. Adira hanya tersenyum dan menggeleng. Dia tidak kisah seandainya dirinya ditinggalkan berseorangan.
     “Dira jangan risau..pakcik dah suruh shahir temankan dira sekejap..dia ada kat luar sekarang ni..” Paksu Kamarul pula mencelah. Sekali lagi, nama itu berlegar-legar di ruang fikiran Adira. Tetapi kali ini hatinya menendang-nendang kuat dadanya. Jantungnya berdegup kencang. Adira hanya berlagak selamba dan tenang. Dia tidak mahu menimbulkan kerisauan Maksu Saodah sekeluarga.
     “Adira tak kisah kan?” Tanya Maksu Saodah meminta kepastian. Bimbang sekiranya Adira tidak menyetujui cadangan mereka. Maklumlah yang bakal menemaninya itu lelaki. Manalah tahu Adira tidak mempercayai langsung anak saudaranya itu.
     “Kak dira janganlah risau..abang shahir tu baik sangat..percayalah!” Natasya pula meyakinkan Adira. Dia pasti Shahir tidak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan. Lelaki seperti abang sepupunya itu tidak akan mudah tewas dengan ‘gelanggang’ nafsu.
     Adira tertawa kecil dan berkata, “Takdelah..kak dira tak pernah fikir macamtu..kak dira tak kisah pon sape yang nak temankan kak dira..baguslah kan..sekurang-kurangnya ada teman nak berbual.” Adira menidakkan apa yang sedang dibimbangkan mereka.
     “Baguslah kalau macamtu..OKlah..kami pergi dulu yer..dah lambat ni..kami janji kami datang balik..kejap lagi shahir masuklah tu..assalamualaikum.” Paksu Kamarul meminta diri. Sejurus Adira menjawab salam, mereka terus menapak meninggalkan ruangan itu. Adira memerhatikan langkah mereka dari ekor matanya sehingga mereka hilang di balik pintu. Kemudian, dia kembali menatap siling bilik itu.
     Fikiran Adira menerawang sehingga tidak menyedari sesusuk tubuh memasuki ruangan bilik itu. Langkahnya kelihatan teragak-agak untuk menghampiri Adira. Sungguh! Dia berasa tidak selesa dan janggal dibiarkan bersama seorang gadis. Jikalau tidak kerana pujukan ayah saudaranya, dia pasti akan menolak untuk menemani gadis itu malam itu. Gadis yang tidak dikenalinya sama sekali. Tetapi menurut ayah saudaranya, gadis itu adalah kenalan lama sepupunya, Nad. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia menerima.
     Adira tersentak tatkala mendengar bunyi sesuatu yang bergeser di lantai. Dia menoleh ke kanannya dan terpandang seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi sambil menundukkan kepalanya. Mungkin malu untuk bertentang dengan seorang gadis. Mungkin dia lah Shahir, fikir hatinya.
     “Errr..shahir???” Adira takut-takut untuk menegur lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu segera mengangkat kepala apabila mendengar namanya dipanggil. Alangkah tersentaknya Adira apabila melihat wajah lelaki itu. Terasa mahu tercabut sahaja jantungnya. Sekiranya dia sedang berdiri, pasti dirinya sudah terjelepok pengsan. Anak matanya hampir tersembul keluar dan nafasnya seakan tersekat-sekat. Sukar untuk dia mengawal pernafasannya tika ini. Perasaannya juga sukar ditafsirkan apabila melihat sang pujaan hati betul-betul berada di hadapannya sekarang. Tetapi benarkah dia yang sering mengisi ruang hati dan fikirannya serta dianggap sebagai sebahagian dari jiwanya? Benarkah lelaki yang berhadapan dengannya sekarang itu yang telah sekian lama bertakhta di puncak hatinya? Benarkah???


No comments:

Post a Comment